EU rancang mansuh larangan enjin pembakaran 2035

EU rancang mansuh larangan enjin pembakaran 2035

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) dijangka memansuhkan larangan penjualan kereta petrol dan diesel baharu mulai 2035, sebagai sebahagian daripada pakej pembaharuan yang bertujuan menyokong industri automotif Eropah yang kini berdepan tekanan hebat.

Pengeluar kereta dan penyokong industri melobi Brussels secara agresif sejak setahun lalu supaya melonggarkan larangan tersebut, ketika sektor itu berdepan persaingan sengit dari China serta peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) yang lebih perlahan daripada jangkaan.

Suruhanjaya Eropah (EC) dijangka mencadangkan penggantian larangan itu dengan sasaran pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 90 peratus, satu langkah yang menurut pengkritik berisiko melemahkan agenda hijau EU dan menghalang pelaburan dalam elektrifikasi.

“Ini adalah detik penting untuk masa depan sektor ini. Banyak perkara dipertaruhkan,” kata Ketua Pelobi Automotif Persatuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA), Sigrid de Vries dalam sidang media di Brussels.

Larangan yang dipersetujui pada 2023 itu merupakan tonggak utama Pelan Hijau EU, namun kini berdepan tekanan meningkat daripada kalangan perniagaan dan ahli politik sayap kanan ketika EU berusaha mengukuhkan daya saing industrinya.

“Jelas terdapat permintaan untuk lebih fleksibiliti dalam sasaran CO2,” kata jurucakap Suruhanjaya Eropah (EC), Paula Pinho, sambil menegaskan Brussels sedang mencari keseimbangan antara alam sekitar dan industri.

Pengeluar kereta berhujah sasaran 2035 untuk hanya menjual kenderaan elektrik, serta sasaran perantaraan pada 2030 tidak lagi realistik.

Kos permulaan EV yang tinggi dan kekurangan infrastruktur pengecasan di beberapa negara anggota menyebabkan pengguna masih lambat menerima kenderaan elektrik.

Menurut ACEA, hanya kira-kira 16 peratus kenderaan baharu yang dijual dalam sembilan bulan pertama 2025 menggunakan kuasa bateri sepenuhnya.

Industri automotif mahu penjualan kenderaan hibrid boleh dicas semula dan kenderaan dengan ‘range extender’ atau enjin pembakaran kecil yang mengecas bateri secara terus dibenarkan selepas 2035.

Pilihan ini disokong oleh Jerman dan beberapa negara Eropah Timur yang menempatkan kilang pengeluar kereta Jerman.

Sementara itu, negara seperti Itali mahu bahan api alternatif, termasuk yang dihasilkan daripada hasil pertanian dan sisa turut dibenarkan.

“Kenderaan elektrik akan menjadi pilihan utama, tetapi untuk memastikan peralihan ini berjaya bagi masyarakat dan industri, pilihan lain juga perlu tersedia,” kata de Vries.

Sebaliknya, Perancis, negara-negara Nordik dan Sepanyol menegaskan kepentingan mengekalkan pelan asal bagi melindungi syarikat yang telah melabur besar dalam peralihan kepada EV.

Ketua kumpulan terbesar Parlimen Eropah, Manfred Weber berkata, larangan 2035 akan digugurkan dan digantikan dengan keperluan pengeluar mencapai pengurangan 90 peratus pelepasan CO₂.

Sumber EU mengesahkan kepada AFP, semakan itu berkemungkinan membenarkan penjualan kenderaan hibrid boleh dicas dan range extender selepas 2035.

Langkah ini mencetuskan kebimbangan aktivis alam sekitar, dengan laporan terbaharu menunjukkan kenderaan hibrid plug-in mencemarkan hampir setara dengan kereta petrol.

Bagaimanapun, William Todts, pengarah kumpulan advokasi pengangkutan bersih T&E, berharap kompromi itu dapat meredakan ketegangan. “Saya harap jika industri mendapat sedikit daripada apa yang mereka mahu, perdebatan politik yang mengelirukan ini dapat dihentikan,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×