Sivasangari bakal berdepan ujian getir menentang Hania

Sivasangari bakal berdepan ujian getir menentang Hania

SIVASANGARI (depan) sewaktu beraksi menentang Melissa Alves pada pusingan kedua Terbuka Hong Kong di Hong Kong, hari ini. -IHSAN HONG KONG OPEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita No. 7 dunia, S. Sivasangari bakal berdepan ujian yang cukup getir apabila dijadual bertemu bintang No. 2 dunia, Hania El Hammamy pada suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong di Hong Kong, Khamis ini.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu mara ke peringkat lapan terbaik selepas mengetepikan wakil Perancis, Melissa Alves 11-8, 5-11, 11-5, 11-7 dalam masa 32 minit pada pusingan kedua, hari ini.

Kemenangan tersebut merupakan yang kedua berturut-turut dilakar Sivasangari ke atas Alves, selepas dia menundukkan pencabar sama pada separuh akhir Terbuka HKFC, minggu lalu.

Menjelang aksi berdepan bintang Mesir, Hania, Sivasangari perlu bekerja keras serta tidak boleh melakukan sebarang kesilapan mudah jika berhajat menewaskan Hania dan mara ke separuh akhir pada kejohanan berstatus Platinum itu.

Dengan rekod pertemuan 2-6 yang jelas tidak berpihak kepada Sivasangari, pemain No. 1. Malaysia itu turut berdepan rekod kurang baiknya setiap kali bertemu mana-mana pencabar dari Mesir.

Kali terakhir Sivasangari menumbangkan Hania ialah pada perlawanan akhir Kejohanan Klasik London, tahun lalu.

Selepas kejayaannya merangkul gelaran di London, pemain berusia 26 tahun itu belum pernah menewaskan Hania yang memiliki fizikal jauh lebih tegap berbanding Sivasangari, selain mempunyai gaya permainan yang agresif.

Namun, jika prestasi cemerlangnya sewaktu beraksi di London mampu diulang, dia mungkin berupaya sekali lagi menghadirkan kejutan ke atas bintang No. 2 dunia itu.

Selain Sivasangari, seorang lagi wakil Malaysia yang masih meneruskan perjuangan ialah Aifa Azman yang akan turun beraksi menentang bintang muda Mesir yang menghuni ranking No. 3 dunia, Amina Orfi pada peringkat 16 terbaik, esok.

Tugas berat menanti Aifa dalam usahanya mencari tempat ke suku akhir, walaupun dia belum pernah bertemu bekas juara remaja dunia itu dalam sebarang kejohanan antarabangsa sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN