Selangor FC tunduk 0-1 kepada Lion City Sailors di MBPJ

Selangor FC tunduk 0-1 kepada Lion City Sailors di MBPJ

PENYERANG Selangor FC, Crhrigor Moraes diasak pemain Lion City Sailors dalam aksi terakhir kumpulan G Liga Juara-juara Asia 2(ACL2) di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya(MBPJ) sebentar tadi-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan Selangor FC menutup kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) dengan noktah manis tidak kesampaian apabila akur tewas 0-1 kepada Lion City Sailors dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan G di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ), sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, Gergasi Merah mempertaruhkan Kalamullah Al-Hafiz sebagai penjaga terakhir kubu pertahanan manakala Faisal Halim menggalas tugas ketua pasukan untuk mengemudi serangan bersama penyerang import, Chrigor Moraes.

Aksi bermula rancak apabila beberapa gerakan agresif Faisal dan Moraes hampir membuka tirai jaringan kepada tuan rumah, namun ketumpulan penyudah menjadi pemisah di antara kegembiraan dan kekecewaan.

Sebaliknya, Sailors lebih bijak memanfaatkan peluang apabila Tsiy-William memecah kebuntuan pada minit ke-49 melalui tandukan kemas hasil sepakan penjuru  jaringan yang akhirnya menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

Wakil Singapura itu menggandakan tekanan menerusi gerakan Maxime dan Ramselaar, memaksa benteng Selangor bekerja keras menepis asakan bertali arus pelawat.

Faisal cuba meniup semangat kebangkitan dengan beberapa percubaan berbahaya namun kekentalan barisan pertahanan Sailors menafikan setiap usaha skuad kendalian Christophe Gamel.

Selangor meningkat tempo pada hujung permainan, namun masa nyata bukan sahabat mereka apabila perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0 untuk Sailors.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor menutup saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot dengan hanya satu mata, manakala persaingan kumpulan menyaksikan Persib Bandung muncul juara Kumpulan G dengan 13 mata selepas menundukkan Bangkok United 1-0 dalam satu lagi aksi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN