Selangor FC menang 3-1 ke atas PDRM FC

Selangor FC menang 3-1 ke atas PDRM FC

PENYERANG Import Selangor, Chrigor Moraes(tengahO dan Faisal Halim meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Selangor FC (SFC) meneruskan rentak cemerlang apabila menundukkan PDRM FC 3-1 untuk mencatat kemenangan ketujuh musim ini dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Beraksi di gelanggang lawan, Gergasi Merah menampilkan kesebelasan terbaik dan bermula agresif sebaik sepak mula dengan menguasai tempo permainan dan mendominasi 10 minit awal perlawanan menerusi beberapa percubaan berbahaya yang dicipta oleh Chrigor Moraes dan Faisal Halim.

Dominasi itu membuahkan hasil pada minit ke-20 apabila Moraes menanduk masuk umpanan cantik Faisal untuk membuka tirai jaringan sekali gus menghadiahkan kelebihan awal kepada pasukan pelawat.

Selangor hampir menggandakan jaringan pada minit ke-27 menerusi rembatan kencang Alvin Fortes, namun percubaan itu tersasar, sebelum Faisal pula mensia-siakan peluang keemasan pada minit ke-37 apabila sepakannya gagal menepati sasaran.

PDRM cuba bangkit di penghujung babak pertama dengan satu percubaan berbahaya, namun ketangkasan Kalamullah memastikan Selangor kekal mendahului 1-0 sehingga rehat.

PEMAIN Selangor, Alvin Fortes cuba melepasi kawalan pertahanan PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Bersambung babak kedua, Selangor terus mengasak dan sekali lagi Moraes mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-49 untuk meletakkan Selangor selesa di hadapan.

PDRM bagaimanapun tidak mengalah apabila merapatkan jurang jaringan empat minit kemudian menerusi Fakhrul Azim, sekali gus menyuntik semangat kepada pasukan tuan rumah.

Namun, Selangor mematikan kebangkitan PDRM apabila Noor Al-Rawabdeh menyempurnakan umpanan mudah pemain gantian, Zikri Khalili, bagi menghasilkan gol ketiga pada minit ke-67.

Skuad kendalian Christophe Gamel terus menguasai perlawanan dengan beberapa lagi percubaan berbahaya, namun tiada tambahan gol sehingga wisel penamat, sekali gus mengesahkan tiga mata penuh menjadi milik pelawat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN