Selangor FC jinakkan Melaka di MBPJ

Selangor FC jinakkan Melaka di MBPJ

PENYERANG Selangor FC, Faisal Halim diasak pemain Melaka FC, Che Rashid Che Halim pada aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Majlis bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) sebentar tadi-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) mempamerkan aksi bertenaga apabila mudah menundukkan Melaka FC 3-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kemenangan bergaya itu melonjakkan skuad Red Giants ke tangga ketiga liga dengan mengumpul 25 mata, berkongsi mata bersama Kuching City FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City), namun kelebihan jaringan memihak kepada anak buah Christophe Gamel.

SFC tidak menunggu lama untuk menzahirkan keunggulan apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi pemain import Jordan, Noor Al-Rawabdeh yang pantas menyambar bola hasil situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti pelawat.

Rentak agresif tuan rumah berterusan apabila Alvin Fortes menggandakan kedudukan pada minit ke-10 menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti yang gagal dikawal kemas penjaga gol Melaka, Badelic Gamba Florencio.

Belum sempat Melaka menyusun langkah, gawang mereka sekali lagi dibolosi tiga minit kemudian apabila Chrigor Moraes menanduk masuk hantaran lintang Al-Rawabdeh untuk gol ketiga Selangor.

Melaka FC yang turun tanpa ketua jurulatih, K. Devan, selepas melepaskan jawatan, jelas bergelut mengekang asakan bertali arus pasukan tuan rumah pada babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Melaka cuba bangkit dengan corak permainan lebih kemas, namun kegagalan penyudah tumpul menyaksikan keputusan 3-0 kekal hingga wisel penamat.

Keputusan itu mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pencabar utama kelompok teratas liga, manakala Melaka terus dihimpit prestasi tidak menentu musim ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN