Rakyat Kelantan boleh mohon lesen dulang emas esok

Rakyat Kelantan boleh mohon lesen dulang emas esok

RAKYAT negeri ini boleh membuat permohonan untuk mendapatkan lesen mendulang emas bermula esok.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Rakyat negeri ini boleh membuat permohonan untuk mendapatkan lesen mendulang emas bermula esok.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia boleh dilakukan melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri dan jajahan.

Katanya, setiap permohonan yang diterima itu akan diteliti bagi memastikan ia menepati syarat-syarat telah ditetapkan sebelum kelulusan diberikan.

“Sebagai permulaan kita gunakan kaedah pengisian permohonan secara manual. Mengenai tempoh semakan permohonan kita akan lihat esok.

“Kalau banyak permohonan mungkin ambil masa yang lama sedikit untuk diproses,”katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri akan mengeluarkan senarai kawasan yang diwartakan untuk aktiviti tersebut selepas mendapat kelulusan daripada Exco.

Katanya, jajahan Gua Musang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai antara lokasi yang akan diwartakan dan mempunyai sumber mineral itu.

“Hasil dapatkan maklumat yang diperoleh melalui media sosial, kami dapati ramai yang berminat untuk memohon lesen dan menduang.

“Jangkaan berapa ramai yang akan memohon lesen, itu kita kena tengok esok,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada 3 Disember lalu melaporkan, lesen mendulang emas hanya akan diberikan kepada rakyat Kelantan bagi membolehkan mereka menikmati sebahagian hasil mineral yang ada di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, permohonan mendapatkan lesen itu boleh dibuat bermula Januari depan melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri atau jajahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN