PETALING JAYA: Ratu lempar cakera negara, Queenie Kung Ni Ting, sekali lagi membuktikan konsistensinya apabila mengekalkan pingat perak pada Sukan SEA 2025 selepas mencatat lontaran 51.81 meter dalam aksi final di Stadium Suphacalasai, hari ini.
Queenie, 28, yang sebelum ini meraih perak pada edisi Filipina 2019 dan Vietnam 2021, tampil tenang mengawal tekanan untuk memastikan rekod tiga edisi berturut-turut berada di kedudukan dua teratas acara itu.
Pingat emas menjadi milik jaguh Thailand, Subenrat Insaeng yang melakukan lontaran 58.86m, manakala gangsa diraih wakil Vietnam, Thi Cam Dung Le dengan catatan 49.34m.
Biarpun sasaran utama Queenie adalah memburu emas pertamanya, atlet kelahiran Sabah itu berpuas hati dengan aksi stabil yang ditampilkan. – UTUSAN










