KOTA KINABALU: Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun di Sabah diarahkan mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan terus kepada Ketua Menteri Sabah mulai tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, laporan itu akan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus Besar Kumpulan dan Pengurus Besar setiap GLC dan badan berkanun di negeri ini.
Menurut Hajiji, inisiatif itu bertujuan memastikan kerajaan negeri menerima maklumat tepat pada masanya berhubung kemajuan projek, kedudukan kewangan, keberkesanan perkhidmatan dan pencapaian masing-masing.
“Langkah ini penting untuk memantau prestasi setiap entiti,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri di sini, hari ini.
Hajiji menegaskan bahawa mana-mana yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) atau tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan akan disemak kedudukannya, termasuk ditukar atau ditamatkan perkhidmatan mereka.
Beliau menggesa semua CEO, GGM dan GM untuk menetapkan KPI yang jelas dan terukur selaras dengan mandat organisasi masing-masing.
“Semua projek, inisiatif, program dan perbelanjaan mesti mematuhi piawaian tadbir urus profesional, termasuk integriti kewangan, ketelusan pelaksanaan dan akauntabiliti kepada rakyat,” tegasnya.
Hajiji menegaskan bahawa semua entiti tetap bertanggungjawab menunjukkan tahap komitmen, kecekapan dan integriti yang tinggi. – UTUSAN










