PETALING JAYA: Walaupun ditimpa kekalahan, beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah masih mampu muncul sebagai juara Kumpulan A pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China, hari ini.
Gandingan No. 2 dunia yang diletakkan sebagai pilihan pertama itu tewas dalam pertarungan sengit menentang beregu No. 5 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun 15-21, 21-16, 19-21 dalam masa 1 jam 21 minit.
Pearly-Thinaah yang sebelum ini telahpun melakar dua kemenangan straight set, tidak mampu digugat Fukushima-Matsumoto kerana kelebihan set menang yang dimiliki wakil Malaysia itu.
Kemenangan Fukushima-Matsumoto itu juga sekali gus memastikan mereka turut mara ke separuh akhir sebagai naib juara kumpulan, mengetepikan beregu tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.
Yi Fan-Shu Xian yang merupakan pasangan No. 4 dunia menewaskan satu lagi wakil Jepun, Rin Iwanaga-Kei Nakanishi 21-11, 21-8 dalam aksi terakhir Kumpulan A.
Bagaimanapun, kejayaan tersebut tidak mampu membantu mereka melayakkan diri ke peringkat kalah mati, selepas kelebihan set dipegang oleh Fukushima-Matsumoto.
Undian semula akan dilaksanakan sebaik perlawanan terakhir peringkat kumpulan selesai bagi menentukan lawan masing-masing di separuh akhir, esok. – UTUSAN










