PETALING JAYA: Keberadaan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dalam skuad Piala Thomas di Honsens, Denmark hujung bulan ini penting untuk menjadi ‘senjata’ psikologi
Bekas legenda beregu negara, Datuk Razif Sidek percaya, aura dan reputasi yang dimiliki Zii Jia masih memberi kesan besar kepada pihak lawan meskipun dibelenggu masalah kecederaan ketika ini.
Menurut Razif, faktor psikologi memainkan peranan penting dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas yang sering menyaksikan keputusan sukar dijangka.
“Dia memang pilihan terbaik yang kita ada dan kalau keadaan dia bagus, kehadiran dia boleh menggugat pihak lawan dari segi psikologi.
“Kadang-kadang kita kena main psikologi juga dan bila nama dia ada dalam pasukan, lawan akan rasa tertekan walaupun kita tak tahu sejauh mana tahap kecederaannya,” kata Razif kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, pemenang Piala Thomas 1992 itu menegaskan peluang Malaysia tetap bergantung kepada tahap kecergasan semasa pemain Alor Setar, Kedah tersebut.
“Semuanya bergantung kepada keadaan dia sama ada boleh beraksi atau tidak kerana kita masih menaruh harapan dengan kehadirannya untuk menguatkan pasukan.
“Kalau dia tidak dapat beraksi, kita kena bergantung kepada pemain lain dan ketika itu peluang kita mungkin menjadi lebih tipis,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Zii Jia mengalami kecederaan ringan sehingga terpaksa menangguhkan sesi sesi latihan bersama skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) ketika persiapan akhir sedang dipergiat.
Dalam masa sama, barisan kejurulatihan negara dijangka membuat penilaian menyeluruh terhadap tahap kecergasan pemain berusia 28 tahun itu sebelum memuktamadkan senarai akhir minggu depan ke Piala Thomas yang bakal bermula 24 April ini.-UTUSAN










