BANGI: Akademi Golf Olympia menetapkan sasaran berani melahirkan 100 pemain golf profesional berkualiti tinggi menjelang 2030 sebagai sebahagian pelan jangka panjang pembangunan sukan itu di peringkat nasional.
Pelan tersebut merupakan sebahagian hala tuju pembangunan golf Olympia bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang dirangka untuk melahirkan pemain bertaraf dunia melalui ekosistem pendidikan dan sukan yang menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Olympia Education Malaysia, Datuk Seri Abdul Rani Osman berkata sasaran tersebut adalah sebahagian daripada pelan hala tuju menyeluruh 2026 hingga 2030 yang dirangka untuk mengubah landskap pembangunan golf negara.
“Kita sasarkan penyertaan seramai 10,000 pemain menjelang 2030, namun daripada jumlah itu sekitar 100 akan dipilih dan dibentuk sebagai atlet yang benar-benar bersedia untuk bersaing di peringkat profesional dan mewakili negara.
“Ini bukan program jangka pendek kerana kita bermula dari akar umbi termasuk kanak-kanak sekolah, remaja dan pelajar universiti supaya bakat mereka dapat diasah secara berterusan sehingga ke tahap dunia,” kata Abdul Rani kepada pemberita selepas kejohanan Grand Finale Jelajah Olympian Golf 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Sepanjang hampir setahun beroperasi, Akademi Golf Olympia sudah menganjurkan lima kejohanan termasuk acara grand final terbaharu yang menghimpunkan 84 peserta walaupun berdepan cabaran musim tengkujuh.
Dalam pada itu, pendekatan Olympia bukan sekadar melahirkan pemain, sebaliknya membina ekosistem golf menyeluruh merangkumi pengurusan, akademi, teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), edu-pelancongan, pertukaran pelajar serta program komuniti.
“Kita buat dengan cara yang mengikut teknologi dan inovasi. Kita gunakan AI, manakala pelajar kita boleh belajar di mana sahaja bukan setakat di padang golf tetapi juga di depan komputer riba dan juga di depan TV.
“Ini sesuatu yang berbeza berbanding dahulu kerana kini kami lebih menekankan penggunaan simulator AI, selain program seperti edu-pelancongan, pertukaran pelajar serta program komuniti untuk membina ekosistem golf yang lebih inklusif dan mampan,” katanya. – UTUSAN










