Malaysia sasar kuasai acara kuadran

Malaysia sasar kuasai acara kuadran

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kini mengalihkan fokus untuk menguasai acara kuadran selepas skuad negara gagal membawa pulang emas dalam cara itu di Sukan SEA Thailand 2025.

Kegagalan dalam acara kuadran itu merencatkan kejayaan sejarah gemilang sepak takraw menamatkan penantian 34 tahun merangkul pingat emas acara regu berpasukan di bumi Thailand, serta menjuarai acara regu.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan menyifatkan kejayaan merangkul dua emas menerusi acara regu berpasukan dan regu di Sukan SEA Thailand 2025 yang berakhir semalam sebagai pencapaian paling manis.

Bagaimanapun, Sumali mengakui kegagalan dalam acara kuadran perlu diperbaiki segera memandangkan acara tersebut kini menjadi acara wajib dalam setiap kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Saya tak fikir pasal keletihan kita tidak berjaya meraih emas dalam acada kuadran, saya fikir puncanya adalah ‘klimaks awal’ apabila acara berpasukan itu kita bergelar juara dan lebih manis mengatasi Thailand.

“Itu adalah ibu segala pingat emas. Apabila dah dapat (emas berpasukan) dulu, ia jadi sedikit mengacau mood untuk acara-acara yang lain. Pemain cuba untuk bangkit, tetapi akhirnya tidak berjaya manakala negara lain dilihat lebih bersedia dari segi taktikal untuk kuadran,” jelasnya.

Untuk rekod, skuad kuadran negara hadir ke Thailand dengan rekod baik selepas mengesahkan status sebagai kuasa baharu acara kuadran Asia apabila dinobatkan juara sulung pada Piala Asia Sepak Takraw 2025.

Bagi memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan dalam acara tersebut, Sumali mendedahkan perancangan PSM untuk mewujudkan gandingan pemain yang dikhususkan untuk acara kuadran.

Jelasnya, acara kuadran memerlukan taktikal yang berbeza serta kajian yang mendalam berbanding acara regu kerana melibatkan empat pemain.

“Dalam rancangan kita memang ada (letak atlet baharu). Mungkin gabungan pemain baru dan lama yang khusus untuk kuadran. Saya dah kaji dan duduk berbincang dengan jurulatih.

“Kita perlu buat sesuatu sebab kita tak boleh elak, kuadran ada di mana-mana kejohanan. Jadi suka atau tidak, kita kena capai tahap terbaik supaya ia seiring dengan prestasi acara regu,” katanya.

Tahun depan, PSM bakal berdepan jadual padat seperti Piala Dunia Sepaktakraw di Kuala Lumpur pada Mei, Piala Raja Thai (Julai), Sukan Asia di Nagoya (September), serta Piala Dunia Belia di Filipina (November).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN