Ling Ching mampu jadi ‘giant killer’ di Thailand

Ling Ching mampu jadi ‘giant killer’ di Thailand

Datuk Rashid Sidek (belakang dua dari kanan) bersama barisak pelakon utama filem Sentuhan Wira di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Rashid Sidek percaya Wong Ling Ching berada pada landasan terbaik untuk mencipta kejutan dalam acara perseorangan wanita pada Sukan SEA Thailand yang membuka tirai esok.

Pemain berusia 22 tahun itu dilihat semakin matang mengawal gelanggang dan tampil meyakinkan ketika berdepan lawan berstatus tinggi sepanjang kempen berpasukan wanita.

“Saya sebenarnya tak terkejut kalau dia berjaya buat kejutan, sebab dia memang ada kualiti itu.

“Kalau saya lihat, prestasi dia memang bagus dan sangat positif, dan dari segi keberanian dia memang tak gentar siapa pun lawan di depan,” kata Rashid ketika ditemui selepas majlis pengumuman pelakon utama filem Sentuhan Wira di sini, hari ini.

Aksi cemerlang Ling Ching ketika menumbangkan bintang Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung di separuh akhir berpasukan turut menguatkan keyakinan Rashid terhadap kemampuan anak muda dari Sarawak itu.

Rashid yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 berkata, Ling Ching memiliki sikap tekun serta disiplin tinggi yang membantu mempercepatkan proses pematangannya.

“Saya pernah memantau dia sebelum ini dan memang nampak kesungguhan untuk belajar serta memperbaiki permainan setiap masa,” katanya.

Malaysia sebelum ini terhenti di separuh akhir acara berpasukan wanita selepas tewas 2-3 kepada Indonesia, sekali gus berkongsi gangsa bersama Filipina menjelang aksi individu esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN