Tapak minyak ditawan, tentera Sudan letak senjata

Tapak minyak ditawan, tentera Sudan letak senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUBA: Tentera Sudan yang melarikan diri selepas tapak pengeluaran minyak terbesar negara mereka ditawan oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) dilaporkan sudah meletakkan senjata di Sudan Selatan.

Pusat pengeluaran minyak Heglig terletak berhampiran sempadan dengan Sudan Selatan di wilayah Kordofan Selatan di Sudan, yang kini menjadi pusat utama perang saudara Sudan selepas pasukan RSF menawan seluruh wilayah Darfur di barat negara itu pada Oktober.

RSF yang berperang dengan tentera Sudan sejak April 2023 berkata, mereka sudah menguasai kawasan strategik itu selepas tentera Sudan melarikan diri.

Kumpulan itu menyifatkan penguasaaan terhadap lokasi tersebut sebagai titik perubahan besar bagi pembebasan seluruh negara, melihatkan kepentingan ekonominya.

Jeneral Sudan Selatan, Johnson Olony dalam satu video di media sosial berkata, askar Sudan yang melarikan diri sudah menyerah diri kepada Angkatan Pertahanan Rakyat Sudan Selatan (SSPDF) pada Isnin lalu dan kini berada di Panakuach.

“Kami sudah mengambil peralatan ketenteraan mereka. Pasukan kami sedang menunggu arahan daripada Presiden Sudan Selatan, Salva Kiir dan Ketua Tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan supaya kami boleh pergi ke Heglig untuk mengambil alih kemudahan minyak itu,” katanya.

Pengambilalihan Heglig, yang digambarkan sebagai ‘malapetaka’, turut memberi tamparan kepada Sudan Selatan yang mengekalkan sebahagian besar simpanan bahan api fosil Sudan selepas berpisah pada 2011. 

Kawasan itu menempatkan pusat pemprosesan utama bagi minyak Sudan Selatan untuk tujuan eksport.

Walaupun mempunyai minyak, negara termuda di dunia itu berdepan ketidakstabilan dan kadar kemiskinan yang sangat tinggi sejak bertahun-tahun.

Perang Sudan antara tentera dan RSF meragut puluhan ribu nyawa dan memaksa 12 juta penduduk berpindah, selain memusnahkan infrastruktur negara tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×