Kontrak punca Alcaraz dan jurulatih berpisah

Kontrak punca Alcaraz dan jurulatih berpisah

CARLOS Alcaraz (kanan) bersama jurulatihnya, Juan Carlos Ferrero. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Isu kontrak yang selama ini dianggap rutin dilihat menjadi punca utama keretakan hubungan antara Carlos Alcaraz dan jurulatihnya, Juan Carlos Ferrero, apabila rundingan pembaharuan perjanjian bertukar tegang di luar jangkaan.

Sumber terdekat mendedahkan tawaran baharu yang dikemukakan lewat itu bukan sahaja disertai tempoh keputusan singkat 48 jam, malah mengandungi beberapa klausa bukan teknikal yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam pihak Ferrero.

Keadaan tersebut menjadikan proses rundingan yang sebelum ini sekadar formaliti berubah menjadi berlarutan, dengan pertukaran tawaran balas akhirnya menemui jalan buntu.

Pengumuman rasmi perpisahan hanya dibuat kemudian, sekali gus mengejutkan dunia tenis meskipun Alcaraz baru sahaja menamatkan musim terbaik kariernya dengan lapan kejuaraan termasuk dua gelaran Grand Slam serta kembali ke ranking nombor satu dunia.

Kerjasama sejak usia 14 tahun di akademi Alicante itu menyaksikan Ferrero berperanan besar membentuk Alcaraz menjadi bintang global, menjadikan perpisahan ini dilihat lebih kompleks daripada sekadar soal prestasi di gelanggang.

“Juan Carlos menerima kontrak baharu itu pada pagi Sabtu dengan syarat ia perlu diterima atau ditolak dalam tempoh 48 jam, namun terdapat beberapa klausa yang dianggapnya tidak boleh diterima.

“Bahagian kewangan bukan halangan utama, sebaliknya isu di luar aspek tenis menjadi punca sebenar kegagalan mencapai persetujuan,” kata sumber berkenaan.

Situasi itu turut dikaitkan dengan perbezaan pandangan mengenai hala tuju dan pengurusan karier Alcaraz, sekali gus menjelaskan mengapa perpisahan ini berlaku secara senyap sebelum diumumkan kepada umum. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN