Keputusan seleweng wang 1MDB hari ini

Keputusan seleweng wang 1MDB hari ini

MENDIANG Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram bersama ahli-ahli pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pada 2015, skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.6 bilion mula timbul dan hangat diperdebatkan.

Pada 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa atas 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram RM2.3 bilion dana syarikat pelaburan strategik negara itu.

Hari ini, selepas sedekad, skandal yang didakwa penyebab kepada kejatuhan parti paling lama memerintah negara iaitu Barisan Nasional (BN) serta punca Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama dipenjara, akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Sekiranya didapati bersalah, pihak pendakwaan boleh memohon agar hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana 1MDB itu dijalankan secara berasingan dengan hukuman penjara yang sedang dijalani oleh Najib atas kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

SRC International adalah anak syarikat 1MDB

Andai permohonan itu dibenarkan, bekas Presiden Umno itu mungkin terpaksa berada lebih lama di Penjara Kajang dan tidak boleh keluar awal sebagaimana `diskaun’ yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan.

Najib didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan dan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bagi setiap pertuduhan tersebut, Najib boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Najib boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-dua sekali, bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mula mendengar kes berkenaan pada 28 Ogos 2019 dengan pihak pendakwaan yang ketika itu dikendalikan oleh mendiang Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Saksi pertama pendakwaan ialah Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Kabinet dan Perlembagaan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Farizah Ahmad.

Pada 3 Disember lalu, Hakim Sequerah telah dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan. Beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 17 Januari 2023 yang mana ketika itu perbicaraan skandal kewangan terbesar itu masih di peringkat pendakwaan.

Secara keseluruhan, keseluruhan perbicaraan 1MDB mengambil masa 293 hari dalam tempoh tujuh tahun dengan 76 orang saksi merangkumi 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.

Sepanjang tempoh perbicaraan, antara saksi penting dipanggil memberi keterangan ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan; adinda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Datuk Rahimah Putri Almarhum Sultan Mahmud; dan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.

Najib didakwa pada 20 September 2018 di Mahkamah Sesyen sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2018.

Perbicaraan peringkat pendakwaan berakhir pada hari Sabtu, 30 Mei 2024 membabitkan 235 hari. Perbicaraan kes itu menempa sejarah tersendiri apabila perbicaraan berlangsung pada hari Sabtu.

Najib diperintahkan membela diri bagi kesemua 25 pertuduhan pada 30 Oktober 2024 dan bekas Ahli Parlimen Pekan itu mula memberi keterangan bela dirinya pada 2 Disember tahun sama.

Pada 6 Mei lalu, pembelaan menutup kes selepas selesai mendengar keterangan 26 saksi pembelaan yang mengambil masa selama 58 hari.

Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan Najib membela diri di mana hari pertama prosiding bela diri ialah pada 2 Disember 2024.

Perbicaraan kes itu kemudian bertukar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ke Istana Kehakiman bermula Januari tahun ini sehingga tamat prosiding sepenuhnya pada 4 November lalu.

INFOGRAFIK 1MDB

HAKIM: Datuk Collin Lawrence Sequerah

Pendakwaan:
– Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Ahmad Akram Gharib

– TPR Datuk Kamal Baharin Omar

– TPR Mohamad Mustaffa P. Kunyalam

– TPR Deepa Nair Thevaharan

– TPR Nadia Mohd. Izhar

– TPR Najwa Bistamam

– TPR Hazmida Harris Lee

– TPR Siti Aina Rodhiah Shikh Md. Saud

Pembelaan:

-Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

-Datuk Tania Scivetti

-Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin

-Muhammad Farhan Muhammad Shafee

Tarikh dituduh: 20 September 2018

Mula bicara di Mahkamah Tinggi: 31 Oktober 2018

Pendakwaan tutup kes: 30 Mei 2024

Pembelaan tutup kes: 6 Mei 2025

Jumlah eksibit/bukti: 1,891

Jumlah saksi pendakwaan: 50 orang

Jumlah saksi pembelaan: 26 orang

Jumlah hari perbicaraan: 235 hari (peringkat pendakwaan)
58 hari (peringkat pembelaan)

Jumlah hari hujahan akhir pendakwaan: 2 hari

Jumlah hari hujahan akhir pembelaan: 10 hari

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN