PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi peringatan tegas kepada semua persatuan sukan supaya tidak terpedaya dengan mana-mana individu yang mendakwa menjadi ‘runner’ atau ejen bagi menguruskan permohonan geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Beliau berkata bahawa KBS tidak mengenakan sebarang komisen, caj pemprosesan atau menggunakan ejen, sebaliknya semua permohonan mesti dibuat terus kepada kementerian melalui saluran rasmi.
“Saya mahu maklumkan KBS dan mana-mana agensi dibawah kita tidak mengenakan caj ataupu komisen. Kami juga tidak ada runner.
“Jadi saya minta pemohon jangan percaya sesiapa yang datang atas nama ejen atau yang kata boleh siapkan kertas kerja untuk mendapatkan komisen,” kata Hannah kepada pemberita ketika sidang akhbar geran KBS 2026 di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.
Hannah turut menjelaskan bahawa KBS menerima banyak khabar angin mengenai cubaan manipulasi, namun sehingga kini belum ada aduan rasmi kerana pemohon tidak berani tampil membuat laporan.
Beliau berkata kebanyakan dakwaan hanya disampaikan secara tidak rasmi, justeru semua pihak digalakkan terus melaporkan kepada Unit Integriti KBS atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya berlaku penipuan atau cubaan mengenakan bayaran.
“Kepada pemohon geran, sila mohon terus kepada kita. Peruntukan ini untuk semua dan sesiapa mempunyai masalah seperti ini boleh melaporkan kepada Unit Intergiti KBS dan SPRM,” katanya.
Sementara itu, dalam Belanjawan 2026, tiga skim utama diumumkan melibatkan Geran Padanan Sukan (GPS) bernilai RM30 juta, Dana Sukan Komuniti (DSK) RM20 juta, dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) RM50 juta, menjadikan keseluruhan RM100 juta diperuntukkan bagi pembangunan sukan negara.
Hannah berkata setiap geran mempunyai jendela permohonan tersendiri, manakala KWASN akan menampung penyertaan atlet untuk kejohanan berstatus ranking antarabangsa, termasuk sukan bukan Olimpik seperti Kabaddi.
“Setiap geran ada jendela masing-masing kerana kita ada jadual pembayaran. Untuk bulan Disember ini memang kita tidak dapat bayar. Itu sebab kita ada jendela.
“Untuk kejohanan berlangsung bulan ini, kita akan guna dana KWASN bukan dibawah GPS kerana kita ada jadual pembayaran yang perlu ikut tatatertib kewangan,” katanya. – UTUSAN










