Johor terima RM11.43 bilion bina asas infrastruktur moden

Johor terima RM11.43 bilion bina asas infrastruktur moden

ALEXANDER Nanta Linggi (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru disini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM11.43 bilion pada tahun ini untuk projek-projek membina dan membaiki infrastruktur awam di negeri ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, RM10.24 bilion diperuntukkan untuk projek pra-pembinaan dan pembinaan yang akan membentuk asas infrastruktur moden dan berdaya saing.

“Sementara RM1.19 bilion khusus untuk penyelenggaraan jalan, bangunan dan cerun, memastikan aset awam sentiasa selamat, berkesan dan mampan. 

“Menerusi peruntukan ini, kita bukan sahaja membina dan menyenggara tetapi paling penting, kita mencorak masa depan Johor yang kukuh demi kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan negara dan negeri yang berterusan,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Profesion Teknologi Negara 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Alexander berkata, pertemuannya dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 26 November lalu juga telah membuka ruang untuk kerjasama yang lebih strategik terutamanya dalam pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Kolaborasi ini akan memastikan setiap projek dilaksanakan secara tersusun, berfasa, dan berkesan, sekaligus memberikan impak,” ujarnya.

Sementara itu, Nanta berkata, profesion teknikal merupakan tonggak utama dalam memacu inovasi serta pembangunan negara sekali gus menentukan keupayaan Malaysia bersaing di peringkat global. 

Beliau menegaskan bahawa kepakaran jurutera, arkitek, teknologi, profesional keselamatan dan pelbagai disiplin teknikal adalah nadi yang membina asas kemajuan negara merangkumi infrastruktur fizikal, teknologi moden dan daya saing ekonomi.

Katanya lagi, dalam era perkembangan pesat teknologi digital, terutamanya di bawah gelombang Emerging Technologies, profesion teknikal perlu diberi perhatian sebagai agenda strategik nasional. 

“Mereka adalah penggerak utama yang memastikan Malaysia terus relevan dalam dunia digital, automasi, robotik serta kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Alexander menambah bahawa profesion teknikal kini bukan lagi sekadar bidang kerjaya, malah memikul tanggungjawab besar dalam membentuk masa depan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×