PORT DICKSON: Penantian hampir tiga dekad akhirnya berakhir dengan penuh bermakna buat Roslan Borhan, 58, apabila beliau dinobatkan sebagai juara Pertandingan Memancing Port Dickson Surfcasting 2025 yang berlangsung meriah di Pantai Bagan Pinang, semalam.
Roslan yang merupakan kakitangan kerajaan dari Lumut, Perak, membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 selepas menaikkan seekor ikan pari seberat 1.53 kilogram menggunakan umpan ulat pasir.
Lebih manis, kejayaan itu turut dikongsi bersama isteri tercinta yang hadir memberi sokongan sejak awal pertandingan, sekali gus menyaksikan sendiri detik bersejarah yang ditunggu selama hampir 30 tahun.
Menurut Roslan, kemenangan itu adalah hasil daripada sokongan, doa dan dorongan isterinya, yang sentiasa setia menemani beliau menyertai pelbagai pertandingan memancing sejak sekian lama.
“Saya sangat bersyukur dan masih rasa seperti bermimpi. Setelah sekian lama mencuba, akhirnya rezeki menyebelahi kami. Isteri saya paling gembira, kerana dia sentiasa ada dengan saya dari awal,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
Kata Roslan, isterinya tidak pernah jemu memberi semangat walaupun mereka sering pulang dengan tangan kosong. Kemenangan ini, katanya, adalah hadiah paling bermakna untuk keluarga.
“Kalau bukan kerana sokongan dia, mungkin saya dah lama berhenti. Kemenangan ini bukan milik saya seorang, tapi milik kami berdua,” ujarnya sebak.
Tempat kedua dimenangi oleh Dediaswan Marlis, 43, seorang penghantar makanan dari Ampang, Kuala Lumpur, yang menaikkan ikan Ebek seberat 0.792 kilogram, dan membawa pulang wang tunai RM5,000.
Tempat ketiga pula disandang oleh Rosli Ishak, seorang pemandu lori dari Kampung Pachitan, Port Dickson, dengan tangkapan ikan Daun Baru seberat 0.784 kilogram, menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan(LPNS) serta Kesatuan ANULAE Cawangan MPPD sebagai salah satu penganjuran acara pelancongan calender of event (COE) Port Dickson 2025 disamping mempromosikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026(TMNS2026).
Sebanyak lebih 200 ekor ikan berjaya dinaikkan sepanjang pertandingan, membabitkan pelbagai spesies seperti Selar, Serkut, Tanda, Mempinang, Todak, Bolos, Kerapu, Tetuka, Kapas dan Daun Baru.
Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid, menyatakan rasa puas hati dengan sambutan luar biasa yang diterima, terutama apabila jumlah penyertaan melepasi sasaran awal.
“Cuaca pun sangat baik, dan ikan banyak dinaikkan dari awal pagi. Kami terkejut apabila penyertaan mencecah 505 peserta, melebihi jangkaan. Ini menunjukkan minat terhadap sukan memancing kekal tinggi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MPPD akan terus memperkasa penganjuran acara ini dengan hadiah lebih besar dan penglibatan lebih meluas pada edisi akan datang.
“Matlamat kami tercapai – bukan sekadar pertandingan, tapi meriah dengan kehadiran keluarga. Ekonomi setempat pun turut menerima tempias positif. Inilah yang kita mahu,” tambahnya.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Faizal Ramli, yang turut meluangkan masa bertemu peserta serta pengunjung. – UTUSAN










