KUALA LUMPUR: Bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, memasang tekad untuk mempertahankan gelaran Juara Asia musim hadapan dengan persiapan rapi meskipun menyedari saingan bakal menjadi lebih sengit.
Bagi menghadapi musim baharu itu, Hafizh berkata beliau akan mengekalkan intensiti latihan sama seperti pusingan terakhir musim lalu, dengan memberi penekanan terhadap aspek fizikal, mental serta disiplin diri.
“Bagi saya, ia lebih kepada ‘me vs me’. Saya fokus untuk sediakan diri sendiri sebaik mungkin dan kalau boleh, lebih baik daripada musim lepas,” katanya pada sidang media Adik-Beradik Kuala Lumpur (ABKL), di sini.
Menurut Hafizh, setiap pasukan dan pelumba dijangka tampil dengan persiapan lebih baik bagi memburu kejuaraan, sekali gus menjadikan cabaran musim hadapan lebih kompetitif.
“Sudah tentu sasaran saya adalah mempertahankan gelaran Asia, tetapi kita tahu kompetitor juga akan membuat persiapan lebih rapi. Jadi fokus saya hanyalah pada persediaan diri sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, kejayaannya meraih gelaran juara Asia musim lalu, Hafizh adalah hasil konsistensi sepanjang musim, selain perubahan pendekatan dari segi mental dan latihan fizikal, khususnya menjelang pusingan terakhir di Buriram.
“Musim lalu saya lebih konsisten berbanding tahun sebelumnya. Walaupun ada beberapa perlumbaan yang tidak menjadi, mata kejuaraan masih kekal dalam kelompok teratas. Saya datang ke pusingan terakhir dengan mentaliti dan strategi berbeza, serta latihan yang berterusan,” jelasnya.
Bagi saingan musim depan, Hafizh mengakui cabaran bakal menjadi lebih sukar apabila beliau menjadi satu-satunya pelumba Ducati dalam grid, berdepan dominasi jentera Honda yang dibarisi beberapa pasukan dan pelumba berpengalaman.
“Saya ibarat ‘lone ranger’ menentang skuad Honda. Walaupun mereka daripada pasukan berbeza, pengalaman dan kekuatan jentera Honda memberi kelebihan. Jadi saya perlu fikir pendekatan berbeza dan berlatih lebih keras,” katanya.
Hafizh turut menegaskan pengalaman beraksi di pentas MotoGP sebelum ini banyak membantunya dalam persaingan di Asia, sekali gus memberi kelebihan dari segi kematangan serta pengurusan perlumbaan. – UTUSAN










