KUALA LUMPUR: Dua beregu utama negara kini hanya tinggal selangkah untuk menghadiahkan pingat emas apabila Aaron Chia–Soh Wooi Yik dan Pearly Tan–M. Thinaah mara ke final acara beregu masing-masing di Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.
Beregu lelaki negara itu menampilkan aksi dominan apabila mudah menundukkan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando–Bagas Maulana 21-10, 21-12 di Gimnasium Universiti Thammasat, Rangsit, sekali gus menjamin sekurang-kurangnya perak buat Malaysia.
Kemenangan bergaya itu membuka laluan buat Aaron–Wooi Yik memburu emas dengan misi membalas kekalahan kepada gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama–Moh Reza Pahlevi Isfahani, yang menewaskan mereka pada aksi final berpasukan sebelum ini.
Bagaimanapun hasrat menyaksikan final sesama Malaysia tidak kesampaian apabila Man Wei Chong–Tee Kai Wun terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada Sabar–Moh Reza.
Dalam saingan beregu wanita, Pearly–Thinaah mempamerkan semangat juang tinggi apabila mengetepikan keletihan dan masalah kesihatan untuk menewaskan pasangan Indonesia, Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum 21-14, 19-21, 21-16 dalam pertarungan 78 minit.
Kejayaan itu mengesahkan konsistensi beregu wanita negara apabila Pearly–Thinaah mengekalkan rekod pertemuan sempurna 3-0 ke atas gandingan Indonesia berkenaan.
Malaysia kali terakhir meraih emas beregu wanita Sukan SEA pada edisi Singapura 2015, sekali gus memberi makna besar kepada peluang Pearly–Thinaah untuk menamatkan penantian sedekad. – UTUSAN










