TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang kini kosong berikutan kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 29 November lalu.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, perkara itu masih belum dibincangkan secara rasmi di peringkat gabungan dan ia diserahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk pertimbangan selanjutnya.
“Soal sama ada GRS akan bertanding atau tidak, itu kita serahkan kepada Ketua Menteri untuk dibincangkan di peringkat GRS.
“Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat berkaitan perkara tersebut,” katanya ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih Jualan Rahmah MADANI dan Advokasi Kepenggunaan di Servay Evergreen Sdn. Bhd., di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kemenangan Malaysia dalam kes tuntutan oleh pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai waris Sulu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan yang bekerjasama erat dengan Kerajaan Sabah sejak awal bagi mempertahankan kedaulatan negara.
“Alhamdulillah, kita ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Madani dan Kerajaan Sabah atas hubungan baik serta komitmen penuh dalam menangani isu ini. Pemilihan pakar-pakar yang bersesuaian untuk mewakili negara menunjukkan kesungguhan kerajaan mempertahankan hak Malaysia,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kemenangan tersebut adalah satu pencapaian penting yang mencerminkan keazaman kerajaan dalam mempertahankan setiap inci kedaulatan tanah air, termasuk di Sabah.
“Kita akan terus mempertahankan hak dan kedaulatan negara tanpa kompromi, dan ini termasuklah kedaulatan negeri Sabah,” tegasnya.
Keputusan itu disifatkan sebagai kemenangan besar bukan sahaja kepada Malaysia, malah kepada rakyat Sabah yang selama ini menegaskan kepentingan mempertahankan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia. – UTUSAN










