BANGKOK: Skuad bawah 23 tahun (B-23) berjaya meraih pingat gangsa dalam cara bola sepak di Sukan SEA Thailand 2025 selepas menewaskan Filipina 2-1, sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala itu, skuad kendalian Nafuzi Zain mempamerkan prestasi terbaik untuk tidak pulang dengan tangan kosong pada edisi kali ini.
Skuad negara berada dihadapan pada minit ke-28 menerusi Danish Hakimi Salahudin yang bijak mengambil kesempatan selepas keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti lawan.
Bagaimanapun, kelebihan 1-0 tidak bertahan lama apabila, penyerang negara Haqimi Azim Rosli tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-36 untuk kedudukan terikat 1-1.
Sebelum separuh masa pertama berakhir, Haqimi Azim menebus kesilapan apabila meledak gol kedua Malaysia selepas melepasi perangkap offside untuk menewaskan penjaga gol Filipina, Nicholas Guimaraes.
Bersambung babak kedua, Filipina yang dikendalikan Garrath McPherson memberi tekanan awal untuk mencari gol penyamaan, namun berjaya digagalkan barisan pertahanan negara.
Biarpun melakukan serangan bertali arus ke kubu Malaysia, tiada sebarang tambahan dilakar Filipina pada babak kedua, sekali gus menyaksikan Malaysia pulang dengan pingat gangsa pada edisi kali ini.
Sejarah pencapaian bola sepak Malaysia di Sukan SEA tidak terlalu membanggakan sejak beberapa edisi terakhir dengan edisi 2023 di Kemboja menyaksikan Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan, manakala di edisi 2021 di Vietnam, mereka hanya mampu berpuas hati dengan kedudukan keempat.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas ialah pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, menewaskan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti. – UTUSAN










