PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menempah laluan sukar apabila ditimpa kekalahan dalam perlawanan kedua Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China, hari ini.
Gandingan No. 1 negara itu mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan selepas tunduk di tangan beregu tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang 14-21, 18-21 dalam masa 44 minit.
Kekalahan itu meletakkan Aaron-Wooi Yik dalam laluan yang lebih sukar apabila perlu menewaskan beregu No. 3 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, esok.
Perebutan tempat ke separuh akhir beregu lelaki Kumpulan B, masih terbuka memandangkan Wei Keng-Wang Chang turut ditimpa kekalahan, semalam kepada Rankireddy-Shetty.
Beregu India itu pula berdepan pasangan handalan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, hari ini, dan jika mereka mencatat kemenangan kedua, ini bermakna Rankireddy-Shetty mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati.
Fajar-Fikri yang tumpas kepada Aaron-Wooi Yik, semalam, perlu menang ke atas Rankireddy-Shetty bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir dengan esok menjadi hari penentuan kepada keempat-empat beregu yang berada dalam Kumpulan B.
Sementara itu, dalam aksi Kumpulan A melibatkan satu lagi beregu Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun kembali bernafas untuk memburu skot ke separuh akhir selepas melakar kemenangan pertama, hari ini
Pasangan No. 4 dunia itu menewaskan beregu ke-16 dunia, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-18, 21-19 dalam masa 34 minit.
Kedua-dua beregu yang belum pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa, menyaksikan Wei Chong-Kai Wun kini mengatasi Hsiang Chieh-Chi Lin 1-0.
Esok, beregu lelaki No. 2 negara itu berdepan ujian getir menentang pasangan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Wei Chong-Kai Wun tidak mempunyai pilihan, selain mencari jalan bagaimana untuk menumbangkan juara dunia tersebut jika berhajat untuk meneruskan kemaraan ke peringkat kalah mati.
Kai Wun berkata, mereka tidak akan menyerah kalah dengan mudah dalam perlawanan berdepan Won Ho-Seung Jae.
“Memandangkan masih ada peluang untuk melepasi peringkat kumpulan, kami akan buat yang terbaik,” katanya ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir. – UTUSAN










