KANGAR: Seorang wartawan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan proses evakuasi rakyat Malaysia yang terperangkap banjir di Hat Yai, Thailand, hari ini.
Mohamad Asry Shafii, 49, yang merupakan wakil Astro Awani Perlis ditemukan meninggal dunia oleh orang awam di Jalan Behor Pulai, di sini kira-kira pukul 7.55 pagi.
Isteri Allahyarham, Norhanani Ahmad berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Mohamad Asry adalah menerusi perbualan aplikasi WhatsApp di mana suaminya memberitahu mahu pulang ke rumah kerana bimbang kediaman mereka dinaiki air.
Katanya, semasa dalam perjalanan pulang, difahamkan kereta arwah terperangkap banjir dan tidak dapat dihidupkan.
“Arwah dikatakan cuba turun daripada kereta untuk tolak kereta itu tapi tiba-tiba rebah mungkin akibat serangan jantung dan lemas.
“Dia juga ada sejarah sakit jantung sebelum ini dan mungkin kerana terlalu penat bertugas membuat liputan tidak dapat berehat,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.
Mohamad Asry pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebelum menjadi wakil Astro Awani di Perlis.
Allahyarham Mohamad Asry meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak.
Norhanani berkata, suaminya seorang yang sangat meminati bidang kewartawanan dan cuba menyampaikan sesuatu pemberitaan sehabis baik untuk tatapan umum.
“Dia (suami) sangat teliti dalam setiap perkara yang dilakukan malah turut menyumbang jasa melaksanakan bengkel berkaitan kewartawanan walaupun tanpa bayaran,” katanya. – UTUSAN










