PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur sikap segelintir pihak yang disifatkan hipokrit apabila memberi reaksi berbeza terhadap tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Baginda menulis di Facebook rasmi miliknya bahawa ada pihak yang cepat menghukum FIFA apabila tidak mengenakan sekatan terhadap Israel, namun mengagung-agungkan badan itu apabila menjatuhkan hukuman ke atas pemain Malaysia.
“Apabila FIFA tidak menghukum Israel, ramai yang lantang mengkritik. Tetapi apabila FIFA menghukum pemain Malaysia, tiba-tiba pula mereka memuji FIFA. Inilah contoh jelas sikap hipokrit,” titah baginda.
Kenyataan itu merujuk kepada reaksi sesetengah pihak yang menyokong tindakan FIFA menjatuhkan hukuman terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya baru-baru ini.
Sebelum ini, Tunku Ismail menegaskan hukuman berkenaan tidak bersandarkan kepada peruntukan undang-undang sebenar FIFA dan bercanggah dengan Artikel 22 kod tatatertib organisasi itu.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap ketelusan FIFA yang disifatkan seolah-olah mempunyai kepentingan tertentu serta tidak berpaksikan keadilan.
Dalam kenyataan terdahulu, baginda juga menyatakan sokongan penuh terhadap usaha mempertahankan hak pemain terbabit menerusi proses rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Teguran terbaharu itu sekali lagi mencerminkan pendirian tegas Tunku Ismail dalam mempertahankan prinsip keadilan dan integriti bola sepak negara. – UTUSAN










