Teqball negara fokus pertajam serangan hadapi Sukan SEA

Teqball negara fokus pertajam serangan hadapi Sukan SEA

Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah bergambar bersama pasukan Teqball di Royale Chulan Damansara.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMANSARA: Skuad teqball negara kini berada pada landasan terbaik menjelang detik penentuan di Sukan SEA Thailand bulan depan, dengan fokus penuh diberikan kepada penambahbaikan taktikal serta ketajaman permainan.

Jurulatih kebangsaan, Hasnor Ibrahim, berkata pihaknya kini memperhalusi setiap aspek permainan melalui analisis video bagi memastikan pemain turun dengan persembahan lebih mantap berbanding tuan rumah yang dianggap pencabar utama.

“Dalam teqball, serangan dan pertahanan ialah dua tunjang penting. Kalau serangan bagus tetapi pertahanan longgar, sukar untuk kita mencipta keputusan cemerlang.

“Sebab itu saya tekankan dua elemen ini. Saya teliti permainan mereka satu per satu untuk kenal pasti kekurangan yang perlu diperbaiki. 

“Sekarang fokus saya adalah menjadikan kelemahan itu kekuatan buat pasukan,” katanya selepas sesi lawatan Chef de Mission (CDM), Nurul Huda Abdullah, di Damansara hari ini.

Menurut Hasnor, pemain sudah menunjukkan peningkatan ketara dan berada pada momentum positif menjelang temasya dwitahunan itu.

PEMAIN Teqball negara, Faris farizal ketika sidang media selepas membuat lawatan persiapan pasukan Teqball di Royale Chulan Damansara.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF

Dalam pada itu, pemain negara, Faris Farizal, optimis Malaysia mampu membawa pulang pingat biarpun menyedari Thailand berada pada ranking nombor satu dunia ketika ini.

“Untuk sasaran, perseorangan lelaki dan wanita kami sasarkan gangsa. Beregu lelaki pula sasaran perak manakala beregu wanita gangsa.

“Thailand memang pencabar utama. Jadi kami teliti corak permainan mereka, bagaimana mereka mengawal tempo dan menyesuaikan diri dalam tekanan. Dari situ kami ambil pendekatan yang sesuai dan terapkan dalam latihan,” katanya.

Skuad teqball Malaysia turun ke Thailand dengan keyakinan tinggi selepas melakar sejarah membawa pulang dua pingat gangsa pada Sukan Belia Asia 2025 di Bahrain, Oktober lalu sekaligus pencapaian sulung yang melonjakkan lagi semangat barisan muda negara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN