PETALING JAYA: Cuaca buruk dijangka melanda beberapa negeri di utara dan barat Semenanjung susulan pembentukan satu sistem tekanan rendah di Selat Melaka.
Keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, sistem berkenaan kini berada pada kedudukan 5.4°U 98.3°T berhampiran perairan utara Semenanjung dan hampir pegun sebelum dijangka bergerak ke arah barat laut menuju Teluk Benggala dalam tempoh 36 jam.
“Kemungkinan sistem tersebut berubah menjadi siklon tropika lemah adalah rendah namun kesannya tetap signifikan terhadap cuaca di beberapa negeri terlibat pada 23 hingga 25 November,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, katanya, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap bahaya, buruk dan waspada sehingga 25 November 2025.
Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikeluarkan melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor sehingga 24 November.
“MetMalaysia turut menasihatkan orang ramai, khususnya komuniti maritim dan penduduk di kawasan berisiko, supaya berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini cuaca dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










