PETALING JAYA: Sebanyak empat syor penambahbaikan tatakelola telah dibentangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berhubung pembekalan alat personal protective equipment (PPE) oleh kontraktor di bawah pengurusan JKR Bahagian Miri.
Antara syor itu ialah mewujud dan menyediakan peraturan yang menjelaskan spesifikasi peralatan PPE di dalam dokumen tender yang mematuhi standard SIRIM dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
Cadangan kedua ialah menyediakan surat larangan kepada pegawai dan kakitangan iaitu tidak dibenarkan menerima, meminta dan menuntut wang daripada mana-mana kontraktor termasuklah pembelian peralatan PPE.
Syor yang dibentangkan oleh Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh turut mencadangkan, JKR Sarawak menyediakan aku janji iaitu pelaksanaan pakatan integriti (integrity pact) kepada kontraktor terpilih supaya mematuhi perkara termaktub dalam dokumen tender Kerajaan Negeri Sarawak.
Syor penambahbaikan itu timbul ketika pengurusan JKR Bahagian Miri melaksanakan Projek Rural Transformation Project (RTP) pada 2020 atas nama Projek Membina Dewan Serbaguna Kampung Long Aya iaitu projek bernilai RM 310,000.
“Menerusi projek itu, SPRM mendapati pegawai JKR Bahagian Miri telah menuntut dan meminta wang daripada kontraktor untuk membeli sendiri peralatan PPE bagi kegunaan pemantauan dan pemeriksaan projek sedangkan pembekalan PPE tersebut sepatutnya disediakan oleh kontraktor,” katanya dalam sesi pembentangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat JKR hari ini. – UTUSAN










