PETALING JAYA: Skuad hoki negara wajib menang menentang India pada aksi ketiga saingan Piala Sultan Azlan Shah 2025 hari ini bagi mencerahkan peluang ke peringkat seterusnya.
Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, tempoh rehat singkat perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneliti kelemahan sendiri dan mencari ruang eksploitasi terhadap lawan yang terkenal dengan ketangkasan teknikal serta kepantasan serangan.
“Untuk perlawanan seterusnya menentang India, bagi saya semua aksi di kejohanan ini sukar kerana setiap pasukan datang dengan persiapan rapi. Kami perlu cipta peluang dan menjaringkan gol,” katanya selepas tamat perlawanan menentang Kanada Kelmarin.
Speedy Tigers meraih kemenangan pertama dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah 2025 apabila menundukkan Kanada 3-2 pada aksi kedua selepas terikat 2-2 dengan New Zealand dalam aksi pembukaan.
Biarpun berjaya meraih tiga mata penuh, Sarjit masih belum berpuas hati dengan mutu permainan dipamerkan pasukannya dan menuntut penambahbaikan dalam aksi berdepan India.
Beliau menegaskan pasukannya gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang, selain terlalu kerap membuka ruang sehingga membolehkan Kanada meraih banyak pukulan sudut penalti.
“Kita kerap kehilangan bola dan beberapa peluang yang sepatutnya menghasilkan jaringan gagal disempurnakan. Itu yang agak mengecewakan.
“Malaysia juga bernasib baik kerana Kanada gagal menyempurnakan banyak pukulan sudut penalti yang saya fikir mampu mengubah keputusan malam ini,” katanya.
Tiga gol kemenangan Speedy Tigers disumbangkan oleh Akhimullah Anuar, Abu Kamal Azrai dan Faizal Saari , manakala Kanada menjaringkan dua gol melalui Sean Davis dan Matthew Sarmento.-UTUSAN










