FBM KLCI dijangka dalam julat 1,680-1,720 minggu ini

FBM KLCI dijangka dalam julat 1,680-1,720 minggu ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur akan bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,720 mata minggu ini dengan sentimen pelabur masih berhati-hati dalam mod ‘tunggu dan lihat’.

Profesor Madya di i-CATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pasaran saham tempatan dijangka kekal tidak menentu dalam jangka pendek, namun tidak menunjukkan penurunan ketara apabila pergerakan dijangka lebih mendatar dalam fasa penyatuan dengan kecenderu­ngan menaik.

Menurutnya, ketidaktentuan pasaran dijangka berterusan selepas musim perayaan, dipengaruhi beberapa faktor luaran dan dalaman yang masih belum menentu.

“Antara faktor utama ialah pergerakan harga minyak global dan ketegangan geopolitik, khususnya di Asia Barat yang kini menjadi ‘wildcard’ kepada hala tuju pasaran.

“Kenaikan mendadak harga minyak berpotensi menekan sentimen global selain meningkatkan tekanan inflasi dan ketidakpastian ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, dalam keadaan itu, saham berkaitan tenaga dijangka mendapat manfaat, namun keseluruhan pasaran kekal berhati-hati susulan risiko geopolitik yang berlarutan.

“Selain itu, hala tuju pasaran turut bergantung kepada aliran dana asing selepas tahun 2025 menyaksikan aliran keluar yang ketara.

“Sekiranya terdapat kemasukan semula dana asing dalam tempoh terdekat, pasaran berpotensi untuk mengukuh, manakala ketiadaan aliran masuk boleh menyebabkan pasaran kekal lemah atau bergerak mendatar,” ujarnya. 

Abu Sofian berkata, sentimen pelabur juga dilihat lebih defensif apabila cenderung memilih saham berdividen tinggi serta sektor utiliti, telekomunikasi dan barangan pengguna asas bagi mengurangkan risiko dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, FBM KLCI dijangka didagangkan dalam julat tertentu dengan kecenderungan menaik, meskipun risiko ketegangan semula konflik di Asia Barat masih wujud. 

Menurutnya, prospek itu disokong sentimen lebih kukuh, kestabilan harga minyak, momentum luaran dan ketidaktentuan yang mereda, aliran dana asing serta potensi kenaikan domestik.

“Sentimen pelabur semakin kukuh disokong kestabilan harga minyak, apabila niaga hadapan minyak mentah Brent kekal di bawah AS$100 (RM396.63) setong sejak Rabu, sekali gus membantu mengekang jangkaan inflasi jangka pendek dan mengurangkan premium risiko.

“Selain itu, momentum luaran yang positif serta ketidaktentuan yang semakin reda turut menyokong pasaran, susulan kenaikan berterusan pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS) selama tujuh sesi berturut-turut yang mencerminkan pemulihan selera risiko global.

“Pada masa sama, indeks ketidaktentuan (VIX) susut di bawah paras 20, menandakan pengurangan turun naik pasaran dan peralihan semula kepada aset berisiko,” katanya.

Beliau berkata, aliran dana asing juga kembali pulih apabila pelabur asing menjadi pembeli bersih selama tiga hari berturut-turut setakat Khamis, sekali gus menandakan penglibatan semula dalam pasaran ekuiti tempatan.

Menurutnya, FBM KLCI masih berpotensi untuk meningkat memandangkan indeks itu kekal di bawah paras psikologi 1,700 mata dan belum sepenuhnya mencerminkan penambahbaikan sentimen luaran.

Katanya, sektor kewangan yang mewakili kira-kira 42 peratus wajaran indeks juga masih ketinggalan dan sebarang pemulihan dalam saham perbankan dijangka memberi impak ketara kepada pergerakan keseluruhan pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN