KUALA LUMPUR: Penggunaan sistem electronic Know Your Customer (eKYC) bagi semua permohonan melalui portal myTNB akan diperluaskan secara berperingkat mulai tahun ini bagi menangani isu pemalsuan akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) melibatkan penggunaan identiti palsu, perjanjian sewa palsu serta akaun keldai disalahguna untuk tujuan mencuri elektrik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui eKYC pengguna perlu mengimbas dokumen pengenalan seperti MyKad atau pasport dan memadankannya dengan visual diri (swafoto) bagi pengesahan wajah.
Katanya, kaedah itu bukan sahaja mengurangkan risiko penipuan identiti, malah meningkatkan keyakinan pengguna serta memastikan pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) memandang serius isu pemalsuan akaun TNB yang kemudiannya disalahgunakan bagi tujuan mencuri elektrik.
“Perkara ini boleh menjejaskan keselamatan sistem, integriti perkhidmatan serta keyakinan pengguna.
“Selain itu, pemilik identiti atau akaun yang sah berpotensi terdedah kepada risiko untuk menanggung hutang yang bukan kepunyaan mereka,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai langkah segera TNB dan pihak berkuasa untuk mengekang pembukaan akaun tanpa pengetahuan pemilik oleh orang dalam bagi tujuan kecurian elektrik serta jaminan bahawa pemilik tidak dipertanggungjawabkan atas bil atau hutang yang terhasil.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, beberapa langkah telah dan sedang dilaksanakan TNB termasuk pengesahan biometrik di Kedai Tenaga bermula Julai 2023 menggunakan cap jari dan MyKad yang disemak terus melalui peranti biometrik TNB.
“Kaedah itu selamat, menepati standard industri dan telah digunakan secara meluas dalam sektor kerajaan, perbankan dan telekomunikasi.
“Pengesahan biometrik dan eKYC memberi jaminan bahawa pemilik akaun yang sah tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap bil atau hutang hasil penipuan.
“TNB akan terus memperkukuh mekanisme keselamatan identiti demi melindungi pengguna, mencegah kecurian elektrik dan mengekalkan integriti sistem bekalan elektrik negara,” katanya. – UTUSAN










