KUALA LUMPUR: Malaysia mengakui bahawa tempoh setahun sebagai Pengerusi ASEAN tidak mencukupi untuk menyelesaikan semua isu serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun usaha meneruskan kesinambungan kerjasama di rantau ini tetap menjadi keutamaan negara anggota lain.
Katanya, setiap pengerusi sebelum ini, termasuk Laos dan Indonesia telah meletakkan asas kukuh bagi pembinaan ASEAN yang mantap.
“Malaysia telah meneruskan perjalanan penting dengan menambah ‘batu bata’ baharu kepada struktur yang menjadi milik kita semua. Namun, kita harus mengakui, kita tidak mampu melakukan keajaiban.
“Yang penting ialah kesinambungan untuk meneruskan misi membina legasi mampan bagi Komuniti ASEAN,” katanya pada Upacara Penyerahan Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus kepada Filipina di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Penyerahan jawatan tersebut diserahkan kepada Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilbert Teodoro.
Menurut Mohamed Khaled, sepanjang Malaysia memegang jawatan pengerusi, sebanyak 25 inisiatif penting telah ditandatangani dan diterima pakai, mencatatkan jumlah terbesar dalam sejarah ADMM dan ADMM-Plus.
“Kita telah menghimpunkan sekitar 603 delegasi daripada 19 negara, satu himpunan berpengaruh yang menyatukan pelbagai idea, budaya dan perspektif. Dari peringkat perbincangan kerja sehinggalah mesyuarat pegawai kanan dan mesyuarat menteri pada minggu ini, kerjasama kita bersifat mendalam, bermakna, dan memberi inspirasi,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia memberi sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Filipina sebagai Pengerusi ADDM dan ADMM-Plus tahun depan.
“Kita menyerahkan tanggungjawab kepada rakan kita Filipina. Kita yakin sepenuhnya bahawa Filipina akan terus memimpin dengan semangat dedikasi, integriti dan perpaduan yang sama,” katanya. – UTUSAN










