PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) meneruskan lonjakan ke kelompok teratas Liga Super apabila mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Kelantan The Real Warriors (TRW) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Tiga mata berharga itu melonjakkan skuad kendalian Christophe Gamel ke tangga keempat dengan 16 mata, hanya empat mata di belakang pendahulu bersama, Kuching City FC dan KL City FC.
Beraksi di gelanggang sendiri, The Red Giants tidak menunggu lama untuk menguasai permainan, namun beberapa percubaan awal gagal memecah kebuntuan.
Peluang pertama hadir seawal minit ke-11 apabila tandukan Chrigor Moraes tepat ke arah Damyanov Damyan Valeriy yang bertindak cemerlang menyelamatkan bola menggunakan kakinya.
TRW cuba bangkit melalui serangan dari kanan padang, namun rembatan tinggi Lyngbo Simen Alexander pada minit ke-19 hanya menggegarkan udara.
Seminit selepas itu, stadion bergema apabila Alvin Fortes memanfaatkan ruang dalam kotak penalti untuk menewaskan Damyanov, sekali gus membuka tirai jaringan buat SFC.
Memasuki babak kedua, tuan rumah terus garang apabila Moraes akhirnya turut menemui sentuhan jaringan pada minit ke-53, menyambar bola muntah hasil sepakan percuma Fortes yang terkena palang.
Bagaikan sudah sedia malang, TRW semakin parah selepas Abdul Sesay diarah keluar padang pada minit ke-58 susulan semakan VAR yang mengesahkan kekasaran keras terhadap Harith Haiqal.
SFC kini mengalihkan fokus kepada kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Bangkok United di tempat lawan, manakala TRW akan berehat sebelum kembali berdepan tugas berat menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 20 Disember.-UTUSAN










