Saya tiada hak pecat ahli FAM - Hannah

Saya tiada hak pecat ahli FAM – Hannah

Hannah Yeoh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan beliau tiada kuasa untuk memecat Ahli Jawatankuasa (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) walaupun terdapat isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Katanya, tindakan seumpama itu boleh melanggar Statut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan berisiko membawa kepada penggantungan organisasi, sekaligus menjejaskan operasi bola sepak negara.

“Menteri tidak boleh mengeluarkan arahan yang menyentuh struktur Ahli Jawatankuasa FAM walaupun mungkin tidak berpuas hati dengan prestasi mereka.

“Tidak boleh, saya tidak boleh memecat Ahli Jawatankuasa FAM kerana ini akan melibatkan Statut FIFA 15(c) yang boleh membawa tindakan penggantungan oleh FIFA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 Kementerian Belia dan Sukan peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Hannah, kementerian kini menunggu hasil siasatan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif yang sedang meneliti prosedur dalaman FAM dan kegagalan pengurusan dokumen.

Beliau juga menegaskan FAM tidak akan menerima sebarang tambahan geran sehingga isu pemalsuan dokumen itu diselesaikan dengan baik.

“Mengenai penambahbaikan untuk pastikan integriti bola sepak dijaga, buat masa ini saya tidak boleh mendahului siasatan. Saya pasti Tun Raus mempunyai cadangan untuk tambah baik.

“Bagi pihak kementerian, kita akan pastikan buat masa ini kita tidak akan tambah geran untuk mereka sehingga menguruskan isu ini dengan baik untuk meyakinkan rakyat semula bahawa setiap dana yang diberikan dan digunakan oleh duit rakyat ada accountability (tanggungjawab),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN