KUALA LUMPUR: Penyedia permainan dalam talian popular, Roblox Corporation memberi jaminan untuk memperkukuh tahap keselamatan aplikasinya di Malaysia khususnya bagi melindungi lebih sejuta pengguna kanak-kanak dan remaja di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, langkah itu akan dilaksanakan melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pemantauan manusia secara berterusan serta kerjasama strategik dengan kerajaan Malaysia bagi memastikan aplikasi berkenaan selamat digunakan.
“Saya telah menyuarakan kebimbangan kepada pihak Roblox dan mereka memberikan jaminan keselamatan pengguna, terutama kanak-kanak akan dipertingkatkan.
“Pendekatan itu melibatkan penggunaan AI, pengawasan manusia serta perkongsian data dengan kerajaan Malaysia selain memastikan pematuhan kepada semua peraturan ditetapkan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai dasar Kementerian terhadap perkembangan pesat e-sukan dan bagaimana ia boleh dijadikan sumber ekonomi negara selain hanya dilihat sebagai hiburan belia.
Menurut Hannah, kementerian mahu memastikan dunia digital bukan sekadar menyeronokkan, tetapi menjadi ruang untuk membina karakter serta nilai positif dalam kalangan generasi muda.
Katanya, tidak semua permainan video atau dalam talian boleh dikategorikan sebagai e-sukan dan perlu ada garis pemahaman yang jelas antara hiburan, pembelajaran serta kompetitif e-sukan.
“Ekoran beberapa insiden yang melibatkan belia dan kanak-kanak baru-baru ini, saya telah mengadakan pertemuan dengan Roblox Corporation pada 28 Oktober lalu untuk membincangkan situasi semasa dan langkah memperkukuh penyertaan selamat belia dalam platform berkenaan.
“Dengan lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih sejuta pengguna aktif di Malaysia, isu keselamatan digital tidak boleh dipandang ringan.
“Dengan capaian sebesar ini, tanggungjawab melindungi pengguna muda amat besar dan memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya. – UTUSAN










