Ribut tropika Senyar: Hujan lebat berterusan bermula tengah malam ini

Ribut tropika Senyar: Hujan lebat berterusan bermula tengah malam ini

MOHD. Hisham Mohd. Anip pada sidang akhbar di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ribut tropika Senyar dijangka membawa impak hujan lebat berterusan kepada negara bermula tengah malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, antara negeri yang dijangka menerima impak ribut tersebut ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang.

Beliau berkata, ribut itu sudah melanda sejak pukul 3.30 petang tadi di Indonesia, sebelum dijangka melanda Semenanjung Malaysia dan kemudian bergerak ke Laut China Selatan.

“Ia dijangka melanda dalam tempoh 24 jam. Sekiranya berlaku, ia adalah ribut tropika ketiga terburuk yang akan melanda negara ini selepas kali pertama pada 1996 (Greg) dan kali kedua pada 2001 (Vamei).

“Ribut tropika dijangka melanda sehingga Sabtu dan beredar selepas Ahad. Negeri yang dilanda banjir dijangka menjadi lebih teruk disebabkan paras air sungai dan perairan telah tepu (saturated), selain ia juga membawa angin kencang dan laut bergelora,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat METMalaysia, di sini hari ini.

Sebelum ini, MET Malaysia mengeluarkan amaran berhubung pembentukan satu ribut tropika yang dikesan berada pada Latitud 3.7° Utara dan Longitud 98.6° Timur.

Menurut MET Malaysia, ribut tropika itu dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan sekitar tujuh kilometer sejam dan berpotensi membawa angin maksimum sehingga 65 kilometer sejam.

Mohd. Hisham berkata, ribut itu melanda Aceh dengan kelajuan 80 kilometer sejam dan dijangka melemah pada 50 kilometer sejam apabila memasuki Semenanjung Malaysia.

“Kelajuan angin biasa adalah pada 10 hingga 20 kilometer sejam. Ribut tropika ini sebenarnya akan menjadi lebih kuat sekiranya mendapat tenaga dari air hujan dan kelembapan,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan ribut taufan itu adalah tiupan angin monsun dari China bertembung dengan tekanan rendah di utara Semenanjung, sekali gus menguatkan lagi sistem ribut.

Katanya, MET Malaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan mengemas kini maklumat berdasarkan perkembangan semasa.

“Orang ramai sehubungan itu dinasihatkan agar sentiasa bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat Monsun Timur Laut  dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MET Malaysia,” katanya.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN