Rekod projek besar BN senjata tawan DUN Sook

Rekod projek besar BN senjata tawan DUN Sook

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENINGAU: Beberapa pencapaian Barisan Nasional (BN) di Sabah diyakini menjadi kekuatan utama dalam usaha menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ia termasuklah rekod membawa projek jalan raya bernilai jutaan ringgit dan menunaikan janji pembinaan sekolah menengah baharu yang sekian lama dinantikan penduduk Sook.

Calon BN, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pengalaman empat tahun sebagai Ahli Parlimen Pensiangan dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan membuktikan kemampuannya melaksanakan projek pembangunan di kawasan pedalaman.

“Saya yakin saya telah banyak membantu membawa projek-projek jalan raya utama, contohnya jalan ke Pegalungan dan Pensiangan, jalan Rancangan Belia Tilon, jalan masuk ke Kampung Karamotoi. Ini semua dicapai dalam tempoh empat tahun saya menjadi Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen,” katanya.

Arthur turut berkata, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit kini sedang berjalan, sekali gus membuktikan komitmennya terhadap janji pilihan raya yang dibuat dua tahun lepas.

PRN kali ini menyaksikan Arthur, yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), buat julung kali bertanding di kerusi DUN dalam saingan lima penjuru, berhadapan penyandang Datuk Ellron Angin yang meraih majoriti 1,232 undi pada PRN lepas.

Mengulas tentang manifestonya, Arthur berkata penekanan diberikan kepada isu-isu teras bawah kuasa kerajaan negeri khususnya tanah dan air yang menjadi antara masalah paling kritikal di kawasan pedalaman Sabah.

“Tanah adalah isu besar, pewartaan kampung lambat, geran lambat dikeluarkan. Ini menyekat orang kampung meningkatkan ekonomi mereka.

“Air juga masalah serius di Sook, Keningau dan keseluruhan zon pedalaman Sabah. Pelaksanaannya pula di bawah kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan rakyat terhadap rekod kerjanya sepanjang empat tahun lepas menjadi asas kepada permohonan untuk diberikan mandat di peringkat DUN.

“Saya harap rakyat Sook menilai rekod kerja saya. Jika mereka nampak apa yang telah saya buat, saya merayu, berilah saya peluang untuk berkhidmat di peringkat kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×