GEORGE TOWN: Rapid Bus Sdn. Bhd iaitu pengendali perkhidmatan Rapid Penang On-Demand melaksanakan peralihan kepada aplikasi tempahan baharu dikenali sebagai Rapid On-Demand bermula 15 November ini bagi menggantikan aplikasi ‘Kummute’ yang digunakan sebelum ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, langkah itu bertujuan memudahkan pengguna membuat tempahan perjalanan dengan lebih cepat dan efisien di semua zon perkhidmatan Rapid Penang On-Demand.
Katanya, peralihan aplikasi itu juga merupakan sebahagian daripada usaha penyelarasan menyeluruh oleh Rapid Bus di Pulau Pinang dan Lembah Klang untuk menyatukan platform tempahan, memperkukuh sistem operasi serta meningkatkan kemudahan digital kepada pengguna.
“Aplikasi baharu ini menampilkan antara muka lebih mesra pengguna dan dilengkapi pelbagai fungsi dipertingkat termasuk penetapan lokasi jemputan, paparan masa ketibaan kenderaan secara masa nyata serta kemaskini status tempahan secara langsung.
“Peralihan kepada aplikasi Rapid On-Demand bukan sahaja memudahkan proses tempahan tetapi turut meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, langkah itu juga melengkapkan usaha penyelarasan aplikasi di semua wilayah operasi mereka agar setiap pengguna menikmati pengalaman perjalanan yang lebih baik, mudah dan boleh dipercayai.
“Aplikasi Rapid On-Demand boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan Apple App Store. Pengguna sedia ada juga disaran beralih kepada aplikasi baharu sebelum 15 November bagi memastikan akses perkhidmatan berjalan lancar tanpa gangguan,” katanya.
Sementara itu, katanya, promosi tambang RM1 bagi setiap perjalanan akan diteruskan untuk semua pengguna Rapid Penang On-Demand di 11 zon perkhidmatan.
“Antara kaedah pembayaran yang diterima ialah kad debit atau kredit, DuitNow QR, e-dompet, Pas Perjalanan Tanpa Had Mutiara serta Pas Rapid Mesra (dahulunya Pas OKU Smile).
“Untuk maklumat lanjut mengenai zon liputan dan cara penggunaan aplikasi, orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid Penang atau melayari laman web www.myrapid.com.my,” katanya.-UTUSAN










