SAO PAULO: Lando Norris melebarkan kedudukan di tangga teratas kejuaraan Formula Satu (F1) kepada sembilan mata selepas memenangi perlumbaan pecut di Sao Paulo, manakala rakan sepasukannya di McLaren, Oscar Piastri tersingkir sekali gus memberi tamparan besar kepada peluangnya untuk kembali memimpin.
Pasangan itu memulakan hari di Litar Interlagos, Brazil dengan hanya dipisahkan satu mata, Norris bermula dari petak utama manakala Piastri di tempat ketiga.
Perlumbaan dihentikan pada pusingan kelapan sebelum bersambung dengan permulaan bergulir selepas pembaikan penghadang, dengan Norris di hadapan diikuti Kimi Antonelli dari Mercedes dan George Russell di belakangnya.

Pecut berakhir di bawah bendera kuning berganda selepas Gabriel Bortoleto dari Sauber alami kemalangan, dengan Antonelli terpaksa berpuas hati di tempat kedua, 0.845 saat (s) di belakang Norris.
Russell menamatkan perlumbaan di tempat ketiga manakala juara dunia Red Bull, Max Verstappen, di tempat keempat, kini 39 mata di belakang Norris dan berada di kedudukan ketiga keseluruhan.
Kemenangan Norris memberikan kelebihan penting menjelang perlumbaan utama Ahad ini, dengan kelayakan dijalankan kemudian pada hari yang sama.
McLaren kini memanfaatkan kombinasi konsistensi Norris dan kemalangan Piastri untuk memperkukuh peluang kejuaraan pasukan dan pelumba. – AGENSI










