NEW JERSEY: Seorang bekas juruteknik pembedahan didakwa mencuri bekalan perubatan bernilai AS$2.5 juta (RM9.9 juta) dari sebuah hospital di New Jersey sebelum menjualnya semula di South Carolina.
Marci M. Staub, 44, bekas kakitangan di Cooper University Health Care didakwa menyamar sebagai vendor bekalan perubatan ketika menjual peranti tersebut kepada sebuah syarikat pembekal perubatan, menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya Daerah Camden pada Isnin.
Susulan itu, beliau berdepan pertuduhan mencuri, menerima harta curi, pengedaran ubat preskripsi dan menyamar sebagai wakil organisasi perubatan.
Pihak pendakwa raya memaklumkan detektif berjaya memperoleh rekod kewangan yang menunjukkan Staub menerima bayaran melebihi AS$427,000 (RM1.7 juta) hasil daripada jualan semula barangan curi tersebut.
Kehilangan besar peranti cantuman tulang Medtronic Infuse dan bekalan lain mula dikesan oleh pihak hospital pada 2 Oktober lalu, selepas mendapati inventori sedia ada tidak sepadan dengan rekod penggunaan produk bagi pesakit.
Pihak Cooper University Health Care mengesahkan mereka sedang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan ini.
“Memandangkan ini adalah siasatan jenayah yang aktif, kami tidak dapat mengulas lanjut selain menyatakan kami sudah menyiasat insiden ini dan melaporkannya kepada penguatkuasa undang-undang sebaik sahaja ia ditemui. Pekerja terbabit telah diberhentikan serta-merta,” menurut kenyataan rasmi hospital tersebut.
Siasatan mendedahkan pegawai hospital mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mereka terpaksa membuat pesanan semula bagi peranti berkenaan dengan lebih kerap antara Disember 2024 hingga Julai tahun lalu.
Bagaimanapun, semakan mendapati tiada peningkatan dalam jumlah kes penjagaan pesakit yang memerlukan penggunaan tambahan bekalan tersebut bagi tempoh berkenaan, sekali gus membongkar aktiviti penyelewengan yang berlaku. -AGENSI










