TEHERAN: Serentak dengan serangan Israel ke atas Lubnan, laluan kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz telah dihentikan, lapor agensi berita Fars.
Pada petang Rabu, pergerakan kapal tangki melalui Selat Hormuz terhenti sepenuhnya. Perkara ini berlaku selepas Israel didakwa melanggar syarat gencatan senjata dan menyerang Lubnan.
Selat itu ditutup pada 28 Februari selepas Amerika Syarikat (AS)-Israel melancarkan serangan ke atas Iran tetapi dibuka semula Selasa.
Pada pagi Rabu, susulan penerimaan syarat-syarat Iran oleh Presiden AS, Donald Trump dan pelaksanaan gencatan senjata, dua buah kapal tangki, selepas mendapat kebenaran dari Iran, berjaya melalui Selat Hormuz dengan selamat.
Penghentian serangan ke atas kumpulan penentangan termasuk di Lubnan merupakan antara syarat yang dikemukakan oleh Iran dalam pelan 10 perkaranya.
Terdahulu, satu sumber keselamatan ketenteraan yang dimaklumkan memberitahu Fars: “Susulan pelanggaran berterusan terhadap gencatan senjata sementara oleh tentera rejim Zionis terhadap Lubnan dan pihak penentangan Islam di negara itu, Iran sedang memuktamadkan rancangan untuk melaksanakan operasi pencegahan terhadap kedudukan tentera Israel di wilayah yang diduduki.”
Pada Selasa, AS dan Iran bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu dalam usaha saat-saat akhir bagi mengelakkan kemusnahan menyeluruh yang diancam Trump ke atas negara itu. – AGENSI/AFP









