Nenek Machuca dilahirkan di Argentina bukan Pulau Pinang

Nenek pemain warisan, Machuca dilahirkan di Argentina, sijil lahir tular

IMANOL Machuca
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas sijil kelahiran datuk kepada Facundo Garces didedahkan, kini giliran nenek kepada Imanol Machuca pula dipaparkan kepada umum oleh media Argentina.

Situasi ini dijangka berterusan selepas dua daripada tujuh pemain warisan Harimau Malaya telah didedahkan oleh media antarabangsa.

Media negara itu mendakwa nenek pemain sayap lincah itu berasal dari bandar Roldán, Wilayah Santa Fe, Argentina.

Pendedahan itu sekali gus menafikan neneknya iaitu Concepcion Agueda Alaniz berasal dari Pulau Pinang seperti yang didakwa sebelum ini.

“Di Roldán, daerah San Lorenzo, Wilayah Santa Fe, pada 23 Ogos 1954, jam 10 pagi, Encik Celestino Alaniz, warganegara Argentina, melaporkan kelahiran anak perempuannya, Concepción Agueda, hasil perkahwinan dengan isterinya, Nélida Agustina Ordóñez,” menurut dokumen yang dimuat naik oleh media Argentina, Capital de Noticias semalam.

Dalam laporan itu juga, semakan ke atas sijil perkahwinan pasangan itu menunjukkan Concepcion Agueda Alaniz berkahwin dengan Jorge Luis Saracho, seorang buruh yang juga lahir di Roldán pada 27 Ogos 1971, sekali gus menolak kemungkinan wujudnya hubungan darah dengan mana-mana individu berketurunan Malaysia.

Media Argentina itu sebelum ini turut mendedahkan dokumen kelahiran datuk Garces yang kononnya berasal dari Pulau Pinang tetapi sebenarnya dilahirkan di Santa Fe, Argentina.

Sebelum ini, Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain negara dan denda ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada hujung September lalu.

Keputusan menolak rayuan itu susulan kesalahan memalsukan maklumat bagi mendapatkan kelayakan bermain di peringkat antarabangsa namun FAM bersedia membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN