PARIS: Donyell Malen menjaringkan dua gol ketika Aston Villa menewaskan Young Boys 2-1 dalam aksi Liga Europa yang dicemari kekecohan penonton semalam manakala Nottingham Forest meraih kemenangan mudah 3-0 ke atas Malmo.
Malen menanduk bola untuk meletakkan tuan rumah Villa di depan hasil hantaran Youri Tielemans tetapi kepalanya terkena objek yang dibaling dari bahagian penyokong pelawat ketika meraikan jaringan.
Dia mengalami luka kecil tetapi mengetepikan insiden tersebut dan menggandakan kelebihan Villa selepas menerima hantaran Morgan Rogers sebelum separuh masa.
Joel Monteiro merapatkan kedudukan pada minit ke-90 untuk Young Boys tetapi Villa mengesahkan kemenangan keempat daripada lima perlawanan, meletakkan mereka di belakang Lyon dan Midtjylland berdasarkan perbezaan gol.
Villa kini menang 10 daripada 12 perlawanan dalam semua pertandingan selepas memulakan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan lima aksi tanpa kemenangan.
“Saya rasa kami telah bangkit dengan baik dan kami hanya perlu mengekalkan prestasi ini, kekal rendah diri dan bekerja keras,” kata Malen.
Sementara itu, Ryan Yates, Arnaud Kalimuendo dan Nikola Milenkovic menjaringkan gol ketika Forest menang 3-0 ke atas Malmo di City Ground dalam pertembungan ulangan final Piala Eropah 1979.
“Ia sesuatu yang luar biasa. Malam-malam di City Ground dalam saingan Eropah, kita perlu menghargainya. Ia memang sangat istimewa.
“Kami tahu jika kami beraksi pada tahap sebenar, kami akan mendapatkan keputusan itu,” kata Yates. – AFP










