Malaysia kekal bebas hubungan antarabangsa

Malaysia kekal bebas hubungan antarabangsa

ANWAR Ibrahim (tengah) pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Malaysia kekal sebagai negara bebas dan berdaulat dalam menjalin hubungan antarabangsa tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan dagang dan pelaburan dengan semua negara termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Brazil dan Afrika Selatan demi kepentingan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Betul kita baik dengan Amerika Syarikat. Contohnya pada hari Ahad (Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur) tandatangan dengan Amerika Syarikat (Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), bincang dengan Presiden Donald Trump, terus kena kecam seolah kita tunduk kepada Amerika.

“Saya jemput juga Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa yang mempengerusikan G20, Trump umumkan melarang semua wakil AS hadir ke G20, tapi saya akan hadir kerana Malaysia negara merdeka, berdaulat dan bebas, kalau kita tunduk kepada arahan Amerika, saya tidak akan pergi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini hari ini.

Anwar berkata, meskipun Malaysia menandatangani ART dengan AS, ia tidak menghalang kerjasama dengan negara lain termasuk dalam sektor nadir bumi.

“Ada yang mengatakan nadir bumi ini (pelaburan) hanya dengan Amerika Syarikat, tidak benar sama sekali. Di Pahang sekarang, nadir bumi Lynas (Lynas Rare Earths Ltd) itu (pelaburan dari) Australia dan ada pelaburan baru RM600 juta masuk menerusi JS Link.

“Di Perak pula, nadir bumi itu (pelaburan ) dengan negara China. Ia tidak menghalang sama sekali, jadi kalau kita tengok perjanjian, kita tengok juga pengecualian dan peluang (yang wujud),” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, pendekatan pragmatik itu penting bagi memastikan Malaysia terus menarik pelaburan dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor dan tenaga hijau sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN