KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kelonggaran atau kompromi terhadap piawaian halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meskipun Malaysia menjalinkan kerjasama perdagangan melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, semua produk halal yang diimport dari Amerika Syarikat tetap tertakluk kepada keperluan standard halal Malaysia serta Akta Perihal Dagangan (Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011).
“Proses kelulusan pengimportan produk halal kekal seperti sedia ada, iaitu hanya produk yang mendapat pengesahan daripada badan pensijilan halal di AS yang diiktiraf Jakim serta memenuhi keperluan halal Malaysia dibenarkan untuk tujuan eksport ke Malaysia,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, pengiktirafan Jakim terhadap mana-mana badan pensijilan halal luar negara dibuat menerusi proses audit dan pengesahan ketat bagi memastikan tahap pelaksanaan dan pematuhan terhadap standard halal Malaysia benar-benar dipatuhi.
“Setiap badan luar negara yang ingin diiktiraf perlu melalui penilaian menyeluruh bagi memastikan keupayaan mereka mengurus sistem halal selaras dengan kehendak syariah dan piawaian Jakim,” katanya.
Katanya, semua produk import yang mendakwa berstatus halal wajib mematuhi sepenuhnya keperluan pensijilan JakimM atau badan yang telah diiktiraf oleh agensi berkenaan.
“Bagi memperkukuh kawalan dan keyakinan pengguna, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jakim dan agensi berkaitan akan memperketatkan prosedur pengiktirafan serta pemantauan terhadap pengimport yang menggunakan sijil halal.
“Selain itu, kerajaan turut menyelaras rundingan diplomatik dan teknikal dengan Amerika Syarikat bagi memastikan setiap bentuk fasilitasi perdagangan tidak bercanggah dengan kehendak syariah dan piawaian halal Malaysia,” katanya.
Menurut Zawawi, kerajaan juga akan menyalurkan maklumat dan panduan segera kepada pengimport, pemain industri serta pengguna mengenai sebarang perubahan prosedur import yang berkaitan.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memasarkan produk tidak mematuhi piawaian halal Jakim di negara ini,” katanya. – UTUSAN










