KUBANG PASU: Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Jitra menghala ke arah Selatan ditutup sementara sejak pukul 11 pagi ini berikutan banjir yang melimpah ke laluan itu.
Polis Daerah Kubang Pasu memaklumkan, air memenuhi laluan itu yang bermula di Kilometer 28.3 hingga Kilometer 28.4 dari Dewan Wawasan ke Jitra.
Berikutan itu, pengguna yang ingin meneruskan perjalanan ke arah selatan diminta keluar melalui susur Malau-Jitra dan masuk semula ke lebuh raya melalui susur Darul Aman.
“PDRM menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan keselamatan, memandu dengan berhemah dan elakkan risiko melalui kawasan yang dinaiki air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 1,632 penduduk di dua daerah iaitu Kubang Pasu dan Kulim kini ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan ekoran kediaman mereka dilanda banjir. – UTUSAN










