Trump salahkan pihak berkuasa Maryland gagal tangani 'bencana kumbahan' Sungai Potomac

Trump salahkan pihak berkuasa Maryland gagal tangani ‘bencana kumbahan’ Sungai Potomac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, (AS), Donald Trump mengarahkan agensi persekutuan membantu menguruskan tumpahan kumbahan yang menyebabkan berjuta-juta gelen air sisa mengalir ke Sungai Potomac yang merentasi ibu negara negara itu.

Dalam hantaran media sosial , Trump mengarahkan pihak berkuasa persekutuan supaya segera menyediakan semua pengurusan, arahan dan penyelarasan yang diperlukan untuk melindungi Sungai Potomac, sambil mendakwa pemimpin tempatan menjadikan kawasan itu sebagai ‘zon bencana’.

Sebahagian saluran pembetungan di Maryland runtuh pada akhir Januari, mencetuskan antara tumpahan kumbahan terbesar dalam sejarah AS.

Sungai tersebut berpunca dari West Virginia dan mengalir melalui Maryland serta Washington sebelum memasuki Teluk Chesapeake.

Trump berkata, Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) yang berada di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) akan mengetuai tindak balas berhubung isu tersebut.

Namun beliau menyatakan pembiayaan FEMA kini dibekukan selepas DHS kehabisan dana minggu lalu.

Ahli perundangan Republikan dan Demokrat sedang berdepan kebuntuan mengenai pembiayaan jabatan itu, apabila Demokrat menuntut perubahan dibuat terhadap agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) dan mereka dijangka tidak akan meluluskan rang undang-undang perbelanjaan baharu DHS sekurang-kurangnya sehingga hujung bulan ini.

Pada 19 Januari, pegawai menemui keretakan pada satu bahagian saluran pembetungan Potomac Interceptor yang diuruskan oleh pihak berkuasa air dan pembetungan Washington.

Kerosakan itu menyebabkan aliran keluar air sisa tanpa kawalan ke Sungai Potomac, menurut kenyataan media DC Water, sambil menambah kru bekerja sepanjang masa untuk mengekang aliran tersebut.

Pegawai Washington dan Maryland berkata, tumpahan itu tidak menjejaskan bekalan air minuman, namun tetap menasihatkan penduduk supaya menjauhi Sungai Potomac.

Ujian sampel air sungai menunjukkan kepekatan bakteria E. coli dan MRSA, yang boleh menyebabkan masalah kesihatan serius, menurut penyelidik tempatan.

Dalam satu pendengaran awam pada Jumaat, pegawai DC Water berkata, kerosakan itu mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk dibaiki, manakala pembaikan kekal terhadap saluran yang runtuh boleh mengambil masa berbulan-bulan.

Dalam hantaran media sosialnya, Trump menyalahkan pemimpin Demokrat di Maryland atas bencana ekologi besar-besaran itu, menuduh Gabenor, Wes Moore melakukan ‘salah urus yang teruk’.

“Jelas pihak berkuasa tempatan tidak mampu mengendalikan malapetaka ini,” katanya, sambil menambah  kerajaan persekutuan tiada pilihan selain campur tangan.

Pejabat Moore bagaimanapun berkata, kerana Potomac Interceptor diuruskan oleh pegawai Washington DC, tindak balas itu sebenarnya tanggungjawab kerajaan persekutuan, bukan negeri Maryland.

“Presiden sekali lagi silap fakta. Selama empat minggu lalu, pentadbiran Trump gagal bertindak, mengabaikan tanggungjawabnya dan meletakkan kesihatan orang ramai dalam risiko,” kata jurucakap Moore, Ammar Moussa, kepada BBC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN