JOHOR BAHRU: Lebih 100 rumah di Kampung Pasir, Tampoi di sini ditenggelami air selepas pintu air utama Sungai Skudai pecah akibat tekanan air pasang besar sejak semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi itu menyebabkan paras air naik setinggi 3.6 meter dalam tempoh singkat, memaksa penduduk termasuk warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) berpindah ke kawasan lebih selamat.
Penduduk, Noraini Kasim, 38, berkata air mula melimpah masuk ke dalam rumah sehingga dapur dan bilik tidur dipenuhi air.
“Peti ais saja yang tak sempat nak selamatkan, berat sangat. Ini pun dah lima bulan saya duduk sini jaga arwah mak yang baru meninggal.
“Tahun lepas masa Ramadan pun banjir, tapi kali ini paling teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Mohd. Azahari Aziz, 38, yang turut membantu memindahkan mangsa berkata, ini kali ketiga kawasan itu dinaiki air dalam tempoh singkat.
“Air naik mendadak dari semalam, punca utama sebab pintu air pecah. Kami harap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera baiki ban utama supaya kejadian tak berulang,” katanya.
Menurut Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai, Azmi Misni, pihaknya sedang menyelaras bantuan segera kepada keluarga terjejas sambil memantau keadaan paras air yang masih tinggi.
“Kita sudah maklumkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan segera bagi mengelak banjir susulan,” ujarnya. – UTUSAN










