SABAK BERNAM: Hujan lebat sejak petang semalam dan keadaan laut bergelora dekat Pantai Sentosa di Parit 5, Sekinchan menyebabkan ban yang masih lagi dalam proses pembinaan pecah lagi, pagi tadi.
Insiden itu tular menerusi video berdurasi 36 saat memaparkan air laut meluncur laju memasuki kawasan daratan.
“Macam itu je dia (air laut) masuk, macam tiada apa,” kata perakam video berkenaan.
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani mengesahkan kejadian itu.
Pada 7 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 35 buah rumah terjejas susulan kejadian ban pecah dekat Parit 5, Pantai Sentosa, Sekinchan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin berkata, susulan itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Seri Sekinchan pada pukul 8 malam bagi menempatkan tujuh keluarga. – UTUSAN










